Wednesday, August 13, 2008

Catatan Awal -Ogos 70-73

Oleh:Nakhoda Kapal

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi maha Pengasihani.
Catatan pelayaran ini aku mulakan menjelang genapnya usiaku 38 tahun,4 hari lagi.Tanggal 18 Ogos setahun selepas peristiwa Mei 13 yang mengorbankan ratusan nyawa rakyat negara ini,telinga kananku dikumandangkan azan buat kali pertama selepas beberapa ketika menyedut oksigen di bumi Ilahi ini.Saat itu bermulalah musafirku di alam persinggahan sementara ini.

Tiada satu perkara pun yang ada dalam ingatanku yang boleh dikongsi oleh pembaca kecuali apa yang pernah dicerita oleh mak dan abah aku yang masih hidup di samping sedikit yang dikhabarkan oleh arwah tok dan opah aku yang dah kembali kerahmatullah.

Aku ini anak ke dua tetapi putera pertama kepada pasangan Ismail dan Salmiah.Abah aku itu tidak dikenali nama rasminya ketika di kampung kelahiran hinggalah ke saat ini.Dari kecilnya dipanggil 'Awang Tok Heng' hingga bergelar atukpun masih tak dikenal orang nama rasminya.Cuma di negeri kami berhijrah dan menetap hingga kini,tak dikenali pula nama gelarannya itu.

Tok Heng itu ,datuk kami.Nama rasminya Ibrahim juga tak digunakan orang untuk memanggilnya,darahnya Melayu Patani.Adapun ibu kami itu berdarah campuran sebelah ayahnya Mad Razali itu berdarah Cina,emaknya Hamidah campuran melayu Jawa.

Opah kami sebelah abah tak sempat aku lihat wajahnya kerana ketika abahku masih remaja ibunya itu telahpun mengadap Ilahi.

Kampung Temelong di tebing Sungai Perak,beberapa kilometer dari Pekan Lenggong di Hulu Perak itulah tempat tumpah darahku.

Hanya satu yang aku ingat antara tarikh lahirku hingga usiaku tiga tahun iaitu kembalinya kerahmatullah tok aku sebelah abah pada tahun 1973 dan dikebumikan di Kampung Masjid,Geluk.Tak sempatlah aku kenali dan bermanja dengan Tok Heng yang pergi lebih awal.